SEBENARNYA shisha lebih berbahaya daripada sebatang rokok." Itulah
reaksi awal yang diutarakan oleh Consultant Resporatory Physician,
Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Sundari Ampikaipakan sebaik sahaja ditanya tahap berbahaya shisha jika dibandingkan dengan rokok.
Ini kerana jika dilihat daripada cara pengambilannya, lazimnya shisha
akan dihisap antara 45 minit hingga satu jam manakala sebatang rokok
pula hanya sekitar lima minit.
Ia secara tidak langsung menjadikan asap yang disedut ketika 'menikmati' shisha lebih banyak berbanding sebatang rokok.
Menurut Dr. Sundari lagi, walaupun hakikatnya kandungan nikotin di
dalam shisha tidak mencecah satu peratus tetapi orang ramai seharusnya
sedar cara pembakaran yang menggunakan arang adalah berbahaya.
Katanya, pembakaran cara tersebut sebenarnya lebih banyak membebaskan
karbon monoksida malahan arang itu sendiri mampu memudaratkan
kesihatan.
"Saya berpendapat mereka yang menghisap shisha sebenarnya tidak mengetahui tahap serta risiko bahaya yang mereka bakal hadapi.
"Ini kerana cara pembakarannya berbeza berbanding rokok dan biasanya
shisha hanya salah satu alternatif lain untuk mereka beralih daripada
rokok.
"Tetapi hakikatnya kesan daripada menghisap shisha adalah sama kerana
kandungan bahan yang dibakar juga mengandungi bahan kimia," ulas beliau
lanjut.
Tambahnya, seperti juga rokok, penghisap shisha juga boleh menghidap
barah mulut, mendapat masalah paru-paru serta banyak lagi penyakit yang
boleh didapati hasil daripada aktiviti tersebut.
Malahan akibat daripada aktiviti tersebut peningkatan penyakit kanser semakin meningkat dari sehari ke sehari.
Dalam masa yang sama, mereka yang sering berkongsi paip juga terdedah
kepada penyakit-penyakit bawaan orang lain kerana ia boleh dipindahkan
melalui paip yang dikongsi bersama.
Dr. Sundari turut mendedahkan tiadanya kesedaran mengenai bahaya
shisha di kalangan penggemarnya adalah kerana tidak banyak kajian yang
dilakukan serta tiada bukti-bukti kukuh dikemukakan yang mampu dijadikan
sempadan.
Untuk itu mereka beranggapan menghisap shisha melalui peralatan paip
air yang menegak kurang risikonya jika hendak dibandingkan dengan mereka
yang menghisap rokok.
Mengulas lanjut mengenai pengambilan shisha dalam kalangan remaja
hari ini, katanya golongan tersebut mudah terikut-ikut dengan trend yang
menular tambahan pula apabila mereka dapati shisha mempunyai pelbagai
perasa serta baunya juga harum.
Jadi tanpa ragu-ragu mereka berpendapat shisha selamat untuk dihisap.
"Kebanyakan remaja hari ini menghisap shisha sekadar untuk bersuka
ria dan golongan ini lazimnya suka mencuba sesuatu yang baru," katanya
lagi.
Berbicara dari sudut ketagihan pula, jelas Dr. Sundari, pengambilan
shisha tidak menjadikan seseorang itu ketagih tetapi ia boleh menjadi
ketagih sekiranya ia kerap diambil.
Turut berkongsi maklumat mengenai penghisap shisha, menurut Dr.
Sundari ada satu kajian yang dilakukan di Pakistan menunjukkan wanita
yang menghisap shisha sehari sekali berisiko melahirkan bayi yang
mengalami kurang berat badan.
Apa pun amalan menghisap shisha adalah amalan yang tidak sihat dan
tidak selamat kerana risiko serta masalahnya juga adalah sama dengan
penghisap rokok.
Orang sekeliling juga turut dinasihatkan agar menjauhi asap shisha
kerana seperti asap rokok ia juga berbahaya dan berisiko kepada mereka
yang menyedutnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar